Persoalan
Assalamualaikum ustaz,
Saya ingin bertanyakan tentang sanggul tinggi yang menjadi trend
wanita masa kini. Setelah saya cuba untuk mencari jawapan bagi persoalan
yang timbul dibenak iaitu apakah hukumnya... saya menjadi keliru kerana
ada yang menberikan pendapat yang berbeza berdasarkan sebuah hadis
iaitu
Hadis : Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud :
"Dua golongan di kalangan ahli neraka yang tidakkan aku pandang
iaitu kaum yang bersama mereka cemeti seperti ekor lembu yang dengannya
digunakan memukul orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian bagaikan
bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk
membuat maksiat. Sanggul dikepala mereka ditusuk tinggi-tinggi seperti
bonggol unta yang sangat lemah. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan
tidak akan mencium baunya sedangkan sesungguhnya bau syurga itu sudah
boleh dicium dari jarak demikian dan demikian."(Riwayat Muslim).
Ada yang menyatakan seperti ini...
Hadis yang menyatakan seperti bonggol unta itu ditujukan kepada
perempuan-perempuan yang tidak menutup aurat secara sempurna. Mereka
memakai pakaian yang nipis-nipis mahupun ketat-ketat sehingga boleh
menampakkan bentuk tubuh dan warna kulit. Pemakaian seperti ini adalah
dilarang sama sekali oleh Islam terhadap para wanita kerana seolah-olah
mereka semacam bertelanjang juga.
Sanggul rambut di kepala yang selalu para wanita memakainya bukanlah
membawa maksud seperti hadis di atas secara mutlaknya. Boleh sahaja
untuk memakai sanggul asalkan tidak mendedahkan aurat di hadapan lelaki
bukan mahramnya.
dan pendapat lain adalah seperti berikut
Ulama' Syafie menyatakan bahawa mengkerintingkan rambut adalah
perkara yang diharamkan melainkan sekiranya sudah berkahwin dan
diizinkan oleh suaminya.
Imam Ramli (Ulama' Mazhab Syafie) berkata dalam kitabnya Nihayatul Muhtaj :
"Dan diharamkan seorang wanita mengkerintingkan rambutnya.
Sekiranya wanita itu mendapat keizinan suaminya (bagi yang bersuami)
atau tuannya (bagi hamba) untuk mengkerintingkan rambutnya maka
diharuskan. Ini kerana suami ada hak untuk mendapat perhiasan pada
isterinya. Ini disebut dalam kitab Radatut Tolibin oleh Imam Nawawi (Jilid 2 ms 25)
Menurut ulama', seperti mana haram mengkerintingkan rambut, begitu juga dengan meluruskan rambut.
SEBAB PENGHARAMAN
Ada dua sebab bagi pengharaman ini. Ianya adalah seperti berikut:
SEBAB PERTAMA : PENGUBAHAN
Rasulullah saw bersabda :
"Allah melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang
ditatu,pencukur kening dan orang yang dicukur kening,orang yang
merenggangkan gigi untuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah" (Hr Bukhari Muslim)
Definasi pengubahan ciptaan Allah adalah seperti berikut : "Membuat perubahan kekal pada anggota yang normal"
Menurut ulama , kekal disini tidak semestinya kekal selamanya.
Pengubahan yang memakan masa berbulan-bulan juga dianggap sebagai
pengubahan yang diharamkan sekiranya untuk kecantikan.
SEBAB KEDUA: PENIPUAN
Muawiyah berkata :
"Sesungguhnya Rasulullah saw menamakan rambut palsu sebagai penipuan."
(Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagi pengubahan rambut dengan teknik ini dianggap sebagai penipuan
kerana manusia nampak seperti elok rambutnya padahal sebaliknya.
Kesimpulan :
Pengharaman ini untuk pengubahan yang ketara, dilihat jelas
perbezaannya. dan berkekalan lama Adapun perubahan yang sedikit dengan
bersikat, menggunakan gel dan dandanan rambut itu tidak dianggap perkara
yang diharamkan. Malahan ini perkara yang disunatkan. Nabi saw
bersabda:
"Sesiapa yang memiliki rambut hendaklah dia muliakannya." (Hr Abu daud - hasan sahih)
Rujukan: Nihayatul Muhtaj oleh Imam Ramli, Hafluz Zafaf Fil Feqhil
Islami oleh Rafif Abdul Aziz Sabag, Al-Jarahah at-Tajmiliah oleh Dr
soleh Fauzan.
Apa yang jelas di fikiran saya sekarang ini adalah pendapat yang
kedua berdasarkan tulisan yang telah saya highlightkan.. Apakah ianya
benar?
Sekian sahaja buat masa ni. Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih. Wassalam.
Jawapan dari Ustaz Nor Amin
Ingatan kepada semua, wanita yang tidak menutup aurat adalam dosa
dan haram perbuatan tersebut. Wanita yang bersanggul tinggi yang tidak
menutup aurat adalah dosa dan haram sepertimana dinyatakan oleh hadis
yang pertama di atas. Masalah ini beza dengan wanita yang bertudung,
tetapi mempunyai sanggul tinggi di dalam tudungnya.
Masalah sanggul rambut tinggi seperti bonggol unta ini mestilah
dilihat dari tujuannya. Kenapa disanggulkan rambut tersebut? Adakah ia
untuk diperlihatkan kepada orang ramai? Adakah untuk menjadikan dirinya
cantik? Atau sebagainya. Menurut saya, kalau sanggul tersebut dibuat
adalah untuk kecantikkan dan diperlihatkan oleh orang yang bukan mahram,
maka ia haram kerana ia menimbulkan fitnah dan menarik perhatian lelaki
yang bukan mahram. Ini jelas bahawa wanita Islam hanya boleh
menghiaskan dirinya untuk suaminya sahaja dan tidak boleh untuk orang
lain. Malangnya wanita Islam sekarang ini tidak tahu maksud perhiasan
yang dibenarkan dalam Islam. Ada wanita yang memakai pakaian biasa di
rumah dan hadapan suaminya dengan alasan tidak bergaya disebabkan duduk
di rumah sahaja, senang nak buat kerja rumah dan sebagainya. Tetapi
apabila wanita tersebut keluar rumah dengan pakaian serba cantik dan
memakai minyak wanginya hampir sebatu bauannya sehingga menarik
perhatian orang lain. Inilah yang dikatakan haram walaupun niatnya betul
dan berpakaian kemas dan cantik.
Sanggul tinggi adalah harus apabila tidak menarik perhatian orang
lain dan tidak mempunyai niat-niat yang tidak baik sepertimana
dinyatakan di atas. Awas!!! Jika sanggul tersebut dapat menarik
perhatian orang bukan mahram dan boleh membangkitkan syahwat orang
lelaki lain, maka ia menjadi haram dan perlu menukar teknik sanggulnya
dari tinggi menjadi rendah. Harus bersanggul tinggi dihadapan suaminya
atau berpakaian cantik dihadapan suaminya, kerana ini adalah suruhan
agama berhias untuk keselesaan suaminya.
Jika dilihat dari tren orang sekarang ini berfesyen seperti sanggul
tinggi dan fesyen tudung yang semakin hari semakin menjadi-jadi fesyen
tersebut. Pendapat saya, jika fesyen tersebut tidak melanggar hukum
Islam atau syariat Islam tidak menjadi masalah. Kalau ia melanggar
syariat Islam walaupun bertudung, tetapi berpakaian ketat seolahnya
bertelanjang sepertimana yang ada sekarang, maka itu menjadi haram.
Hadis Nabi Muhammad yang bermaksud :
"Dua golongan di kalangan ahli neraka yang tidakkan aku pandang
iaitu kaum yang bersama mereka cemeti seperti ekor lembu yang dengannya
digunakan memukul orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian bagaikan
bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk
membuat maksiat. Sanggul dikepala mereka ditusuk tinggi-tinggi seperti
bonggol unta yang sangat lemah. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan
tidak akan mencium baunya sedangkan sesungguhnya bau syurga itu sudah
boleh dicium dari jarak demikian dan demikian." (Riwayat Muslim).
Sumber: Ustaz Nor Amin Sayani bin Zainal
p/s : sama2 la kita memperbaiki diri ke arah menjadi muslimah sejati.
No comments:
Post a Comment